Skip to content

Hentikan PPSMI

20 February, 2009

Allahyarham ayah saya adalah seorang ahli UMNO pada tahun 50an hingga tahun 80an. Itu adalah seingat saya. Beliau pernah menyandang pengerusi cawangan selama beberapa tahun. Beliau sangat kenal ketua-ketua UMNO peringkat kebangsaan dan negeri.
Atas dasar mempercayai dan menaruh harapan kepada janji-janji para pemimpin UMNO kebangsaan pada ketika itu maka ayah saya tidak menghantar adik-adik saya ke sekolah bahasa Inggeris.

Saya bernasib baik kerana dapat masuk ke sekolah bahasa Inggeris melalui “Special Malay Class”. Tiga orang adik saya dihantar belajar sekolah Melayu hingga tamat peringkat menengah.

Ayah saya telah mempercayai kata-kata pemimpin bahawa bahasa Melayu akan dijadikan bahasa penghantaran di semua peringkat selepas Merdeka. Sebenarnya apa yang berlaku adalah sebaliknya. Bahasa Melayu tidak menjadi bahasa pengantar hanya selepas tahun 70an. Jadi terlepaslah adik-adik saya untuk mendapat pendidikan bahasa Inggeris.
Kawan-kawan adik saya yang mana ibu bapa mereka tidak menghiraukan kata-kata pemimpin (UMNO) telah menghantar anak-anak mereka ke sekolah bahasa Inggeris sama ada di peringkat rendah mahupun di peringkat menengah.

Hingga akhir tahun 70an sesiapa yang boleh berbahasa Inggeris diberi keutamaan dalam banyak hal seperti pekerjaan, melanjutkan pelajaran ke luar negeri dsb. Jadi adik saya telah dinafikan keutamaan itu hanya disebabkan tidak mendapat pendidikan dalam bahasa Inggeris. Walaupun mereka tidaklah hidup susah tetapi ketinggalan jauh jika dibandingkan dengan kawan-kawan mereka yang telah mendapat pendidikan di sekolah bahasa Inggeris.

Apa yang saya nak katakan di sini adalah sikap dan sifat pemimpin UMNO yang tidak ada hala tuju yang realistik dan waras hingga menyebabkan rakyat sangat bercelaru menghadapi cabaran hidup semasa.

Samalah seperti isu PPSMI di mana sekali lagi pemimpin UMNO (terutama Tun Mahathir) telah meletakkan rakyat dalam keadaan yang sangat bercelaru dan merugikan.

Setelah melihat kejayaan selama 17 tahun Bahasa Melayu digunapakai untuk semua mata pelanjaran kecuali mata pelajaran bahasa-bahasa lain Dr. Mahathir telah mendesak agar kedua-dua mata pelajaran Mathematik dan Sains diajar dalam bahasa Inggeris. Perlaksanaannya pula dilakukan dengan secara mendadak dengan tiada perancangan dan kajian yang teliti atas cadangan tersebut.

Kebanyakan pemimpin bawahan telah bersetuju membabi-buta akur kepada kehendak pemimpin (Mahathir) mereka. Maka dilaksanakan tanpa memikirkan natijah yang akan menimpa nasib murid-murid yang diuji seperti “guinea pig”.

Akhirnya selepas ketiadaan Mahathir sebagai PM terdengar suara-suara mereka yang berani, meminta agar keua-dua mata pelajaran tersebut diajar kembali dalam bahasa Melayu.

Kerajaan selama ini pandai meyembunyikan natijah yang buruk akibat perlaksanaan PPSMI. Walau bagaimana pun umum ketahui bahawa isu berkenaan lebih banyak menghasilkan keburukan daripada kebaikan.

Hanya disebabkan kehendak pemimpin yang ditakuti (bukan disegani) maka PPSMI terpaksa dilaksanakan. Betapa terkejutnya rakyat terutama sekali murid-murid dengan tiba-tiba kena “pertingkatkan” mutu bahasa Inggeris mereka kerana menghadapi pengajaran Metamaik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

Seramai mana murid yang tidak begitu fasih dalam bahasa Inggeris maka seramai itulah guru-guru yang berada dalam keadaan yang sama.

Untuk menguasai bahasa asing dengan baik ianya tidak boleh dicapai dalam masa yang singkat apatah lagi bagi subjek yang bersifat tekikal seperti matematik dan sains.

Kita lihat bahawa buku-buku Matematik dan Sains dalam bahasa Melayu mula pupus dan bahasa Melayu kian hari tidak akan lagi menjadi bahasa ilmuan dalam bidang dan mata pelajaran tersebut. Bahasa Melayu akan mati dalam bidang berkenaan buat selama-lamanya.

Akibat daripada perlaksanaan PPSMI kita lihat banyak fakulti di Univrsiti-Universiti yang ada kaitan dengan matematik dan sains tidak lagi dapat berfungsi dengan berkesan bagi memperkayakan bahasa Melayu dalam bidang berkenaan di peringkat pengajian tinggi.

Akibatnya bahasa Melayu hanya laku di peringkat rendah dan tidak lagi di peringkat atasan.
Bahasa orang lain seperti bahasa-bahasa Jepun, Perancis, Jerman dan banyak lagi terus berkembang maju sedang bahasa Melayu ke mana nak tuju?
Adakah ini yang kita kehendaki?

Comments are closed.

%d bloggers like this: