Skip to content

Antara pengampu dan pencerca

1 June, 2007

Di bawah ini adalah satu artikel yang saya kira amat baik untuk kita renungi bersama. Bagaimana memberi teguran secara bijaksana, jujur dan ikhlas kepada pihak pemerintah. Satu pendekatan yang boleh diaplikasikan untuk semua peringkat bergantung kepada kedudukan orang yang kita hendak beri nasihat dan teguran.

Artikel ini juga memberi gambaran dan ciri-ciri yang ada kepada pengampu dan pencerca. Islam tidak merestui pendekatan yang diambil oleh kedua-dua keperibadian ini dalam tindak-tanduk mereka untuk menyelesaikan masalah yang akhirnya tidak boleh memberi manfaat kepada umat Islam.

_________________________________________________


Seseorang pemerintah hendaklah tahu, bahawa bukan semua yang memujinya ikhlas kepadanya. Mungkin pujian itu datang disebabkan takut kepadanya atau habuan yang diharapkan. Maka tidak hairanlah jika ramai pemerintah yang dipuji pada zaman dia berkuasa, dikeji dan dihina pada hari dia kehilangan takhta.

Para pengampu juga akan mencari ‘tempat ampuan’ yang baru. Di samping itu, sesuatu yang pasti bahawa setiap yang mengutuk atau memaki pemerintah secara terbuka, tidak mempunyai keikhlasan terhadap pemerintah. Pemaki atau pencerca sebenarnya sama seperti pengampu. Kedua-duanya mengharapkan habuan. Pemaki mengharapkan dengan makian itu dia diangkat, atau dianggap wira. Lalu habuan akan datang melalui penyokongnya, atau akan ada kerusi yang diberikan kepadanya.

Para ulama tidak boleh menjadi pengampu pemerintah. Dalam masa yang sama, mereka tidak diizinkan syarak menjadi pencerca atau pemaki pemerintah. Mengampu pemerintah dengan menggunakan nas- nas agama menyebabkan pemerintah tersesat jalan dengan merasai sentiasa dirinya betul.

Apa tidaknya golongan agama pengampu ini yang akan menyokong segala-galanya. Tanpa perlu berfikir panjang, kerjanya mencari dalil dan hujah menyokong apa sahaja yang dilakukan oleh pemerintah. Segala dalil-dalil syarak diputar agar bersesuaian dengan cita rasa pemerintah.

Sikap ini sangat berbeza dengan akhlak pendakwah yang tidak suka melihat manusia melakukan kesalahan dan gembira melihat manusia melakukan kebaikan.

Golongan ulama pengampu mengambil langkah menyokong apa sahaja yang dibuat oleh pemerintah. Mereka biasanya mendapat habuan dunia yang memberangsangkan. Pemerintah mempergunakan golongan ini sebagai alat menghalalkan segala tindakannya. Mereka adalah ulama jahat yang banyak mengorbankan agama dan rakyat. Mereka ini bagaikan lalat yang mencari kesempatan menghurung bangkai yang busuk. Demikian mereka mencari kesalahan pemerintah untuk dikerumuni dan dihalalkan.

Golongan pemaki yang bertopengkan agama pula menjadikan kutukan ke atas pemerintah atau bangkangan terhadap sesebuah kerajaan yang berkuasa sebagai modal cari makan. Mereka juga biasanya mendapat habuan dunia dengan pelbagai aktiviti dan jemputan. Duit orang ramai juga mudah dikumpulkan untuk apa-apa projek atas tiket semangat menentang kerajaan.

Segala dalil syarak dipersembahkan dalam bentuk menyanggahi pemerintah. Kedua-dua golongan ini merosakkan umat dengan kerosakan yang amat besar.

Islam memerintahkan para ulama dan umat sentiasa menasihati pemerintah. Bukan mengampu atau memakinya. Nasihat itu adalah tuntutan agama. Nasihat mungkin datang dengan nada yang lembut. Juga mungkin dengan nada yang tegas.

Namun penasihat sentiasa mengharapkan kebaikan untuk pihak yang dinasihati. Tidak dinamakan nasihat, jika kita memujinya sehingga dia tersasar. Juga tidak dinamakan nasihat jika kita memakinya di khalayak ramai. Daripada Abi Hurairah: Bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya Allah meredai kamu tiga perkara, dan memurkai kamu tiga perkara. Dia meredai kamu jika (pertama) kamu beribadah kepada-Nya dan tidak menyekutukan-Nya sedikitpun, (kedua) kamu berpegang teguh dengan tali Allah kesemuanya, (ketiga) kamu menasihati sesiapa yang Allah jadikan dia memerintah urusan kamu. Dia memurkai kamu banyak bercakap (yang tiada faedah), menghilangkan harta dan banyak bertanya (maksudnya pertanyaan yang tidak berfaedah) (Riwayat Malik 2/169).

*Sedar

Para pemerintah hendaklah sedar bahawa golongan yang mentaati mereka ketika mereka melakukan kemungkaran adalah golongan menjual agama dan tidak jujur terhadap diri dan pemerintah itu sendiri.

Daripada Abi Said al-Khudri, daripada Nabi, sabdanya: Tidak dilantik seorang khalifah melainkan akan ada baginya dua bitanah (penasihat yang rapat). (Pertama) bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kebaikan dan menggalakkannya. (Kedua) bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kejahatan dan menggalakkannya. Hanya selamat ialah sesiapa yang selamatkan Allah. (Riwayat al-Bukhari 6/2438 dan al-Nasai 7/158).

Al-Bukhari meriwayatkan: Ada golongan berkata Ibn ‘Umar: “Kami masuk kepada pemerintah kami, lalu kami berkata kepada mereka berbeza dengan apa yang kami cakap apabila kami keluar dari mereka.” Kata Ibn ‘Umar: “Kami dahulunya (zaman Nabi s.a.w) menganggap itu sebagai nifak (perbuatan munafik).” (Riwayat al-Bukhari 6/2626).

Benarlah nasihat Syaiban al-Ra’i pernah menasihati Harun al-Rasyid: “Wahai Amir al-Mukminin, andainya engkau bersahabat dengan orang yang menjadikan engkau rasa takut sehingga engkau berasa aman lebih baik dari engkau bersahabat dengan orang yang menjadi engkau rasa aman sehingga menyebabkan engkau mendapat ketakutan.”

Tanya Harun al-Rasyid: “Jelaskan maksudnya untukku.” Jawab Syaiban: “Sesiapa yang berkata kepada engkau: “Engkau bertanggungjawab terhadap rakyatmu, takutlah Allah” lebih baik dari orang yang berkata, “Kamu kaum keluarga Nabi diampunkan dosa kamu, kamulah kerabat Nabi!” (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar’iyyah, 1/198).

Maksudnya mereka yang memberi nasihat dengan jujur lebih bermanfaat untuk pemerintah dari mereka yang mengampu yang sebenarnya merosakkan pemerintah. Sabda Nabi: Sesungguhnya selepasku ini akan adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa masuk kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga). Sesiapa yang tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan aku dari kalangannya dan dia akan mendatangi telaga (di syurga). (Riwayat Ahmad 14/78, al-Nasai 7/160 dan al-Tirmidhi. Hadis ini sahih seperti yang dinilai oleh al-Albani. (lihat: Ibn Abi ‘Asim, al-Sunnah, tahqiq: Al-Albani, hlm 337- 339).

Ada pula yang berpendapat bahawa ulama yang tidak berani memaki secara terbuka sebagai ulama pengecut. Namun petunjuk hadis tidak begitu. Sabda Nabi: Sesiapa yang ingin menasihati orang yang memiliki kuasa, janganlah dia menampakkannya secara terang-terangan. Sebaliknya hendaklah dia mengambil tangannya (orang yang memiliki kuasa) dan bersendirian dengannya (menasihatinya dengan tidak didedahkan aib secara terbuka). Jika dia terima maka dia berjaya, jika tidak dia (orang yang menasihati) telah menunaikan kewajipannya. (Riwayat Ibn Abi ‘Asim dalam al-Sunah 507. Sanadnya sahih seperti yang dinyatakan oleh al-Albani ketika mentahqiq al- Sunah ini (hlm 507).

Orang politik ramai yang mempunyai ego yang tinggi. Jika disebut kesalahan di khalayak ramai, maka kemungkinan dia enggan akur kerana ego politiknya. Jika secara bersendirian, ruang penerimaan itu lebih mudah. Hadis ini juga menjelaskan bahawa pemerintah mesti terus dinasihati sama ada dia menerima ataupun menolak.

Sekiranya dia menerima, maka itu sesuatu yang sangat baik untuk dirinya dan umat. Jika dia menolak, pemberi nasihat telah pun menunaikan tanggungjawabnya. Di samping nasihat juga dapat mengingatkan dia tentang akibat sesuatu perbuatan atau perkara. Sekalipun jika dia tidak terima, dia tetap akan tahu nilai perbuatan di sisi syariat Allah.

*Manfaat

Kata al-‘Adhim al-Abadi: “Kata para ulama: “Tidak gugur dari mukalaf tanggungjawab al-Amr bi al-Makruf wa al-Nahy ‘an al-Munkar hanya kerana pada sangkaan tidak memberi faedah. Bahkan wajib dia melakukannya kerana peringatan itu memberi manfaat kepada orang beriman.” (Al-‘Adhim al-Abadi, ‘Aun al-Ma’bud, 11/330).

Sabda Nabi: Sebaik-baik jihad ialah perkataan yang adil – dalam riwayat yang lain: Yang benar – di sisi pemerintah yang zalim, atau ketua yang zalim. (Riwayat al-Nasai 7/161 Abu Daud 4/124, al-Tirmidzi 4/ 471 dan Ibn Majah 2/1329. Al-Diya al-Maqdisi menyatakan sanadnya sahih (Al-Diya al-Maqdisi, Al- Ahadith al-Mukhtarah, 8/110).

Hadis ini selalu disalah fahami untuk membolehkan cercaan terbuka. Jika diteliti hadis ini jelas menunjukkan perkataan yang adil atau benar itu hendaklah dilakukan di hadapan pemerintah yang zalim, bukan di belakangnya. Ini membawa risiko yang paling tinggi dalam berdakwah. Adapun menyatakan kalimat yang benar atau adil di belakang pemerintah, ramai yang mampu melakukannya. Begitu juga mencercanya di belakang.

Kata al-Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin ‘Abd Allah bin Baz: “Bukan dari Manhaj al-Salaf (jalan salafussoleh) menghebohkan dan menyebut keburukan pemerintah di atas mimbar. Hal ini kerana ia boleh membawa kepada porak-peranda dan hilang ketaatan dalam perkara makruf. Ia membawa kekecohan yang memberi mudarat dan tidak bermanfaat. Sebaliknya jalan yang ikuti di sisi golongan salaf: Nasihat antara mereka dengan pemerintah, menulis kepada mereka, atau berhubung dengan ulama yang mempunyai hubungan dengan mereka.” (Al-Qahtani, Fatawa al-Aimmah fi Nawazil al-Mudlihammah, hlm 98).

Kata Dr. Salih bin Fauzan: “Mereka yang paling utama untuk melakukan nasihat kepada para pemerintah ialah ulama, cerdik pandai dan ahli mesyuarat pemerintahan. Firman Allah: (maksudnya) Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada uli al-Amr di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan). (al- Nisa: 83).

Bukan setiap individu layak untuk urusan ini. Bukanlah sama sekali menghebah dan menghebohkan kesalahan itu suatu nasihat. Ia bukan Manhaj al-Salaf al- Salih. Sekalipun maksud pelakunya itu baik iaitu untuk membantah mungkar seperti yang mereka dakwa.

Namun apa yang dia buat lebih mungkar dibandingkan apa yang dia bantah. Sebabnya, boleh jadi membantah mungkar itu juga suatu kemungkaran. Ini sekiranya tidak di atas jalan yang disyariatkan Allah dan Rasul-Nya, maka ia adalah mungkar… (Ibid, hlm 124).

Jika Firaun yang melampaui batas tetap Allah perintahkan Musa dan Harun agar datang menasihatinya dengan cara yang baik, apatah lagi para pemerintah semasa. Firman Allah: (maksudnya) Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lembut, mudah-mudahan dia beringat atau takut. (Taha: 43-44).

Aliran seperti inilah yang dipelopori oleh para ulama muktabar sejak zaman dahulu. Dengan itu, kita akan dapati mereka menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah dengan tegas, dalam masa yang sama mereka juga taat tidak menentang secara terbuka, tidak mencerca secara berleluasa dan bekerjasama dalam perkara yang baik.

Sejarah merakamkan watak tegas mereka di hadapan pemerintah, sabar mereka dengan kerenah pemerintah dan kerjasama mereka dalam urusan kebaikan. Walaupun mereka mempunyai kekuatan mengumpulkan rakyat, namun para imam ahli sunah tidak keluar menentang pemerintah secara terbuka. Sekalipun di kalangan mereka ada yang diperlakukan seperti apa yang berlaku kepada al-Imam Ahmad bin Hanbal.

Demikian juga dalam hal para pemerintah. Makian hanya mengundang keburukan, bukan faedah kepada Islam. Jika mereka dinasihati dengan baik, jelas, tegas dan tidak menggadaikan prinsip agama, pemerintah mungkin akan memikir dan menerimanya. Saya percaya ramai pemerintah dalam banyak keadaan belum mendengar nasihat yang ikhlas, lunak, tegas dan bernas.

Nasihat itu pula disampaikan secara langsung tanpa sebarang kepentingan diri penasihat. Mungkin apa yang banyak pemerintah dengar adalah ucapan para pengampu yang mengampu bukan-bukan. Atau para pencerca yang kegiatan adalah mencerca pemerintah. Atau mungkin juga ada nasihat yang baik, namun apabila ia datang atas nama seteru politik menyebabkan para pemerintah salah sangka dengan nasihat tersebut.

Pemerintah umat ini masih tandus dan gersang nasihat-nasihat yang hebat seperti yang pernah diberikan oleh para ulama terbilang di hadapan para pemerintah yang lampau sehingga menitiskan air mata mereka.

Artikel oleh

– DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: